Isnin, 8 Mac 2010

Persoalan Hidup

Assalamualaikum buat semua pembaca.

Saban hari saya dihujani oleh permasalahan dalam keluarga dan rumah tangga yang membabitkan soal keadilan dalam kehidupan berumahtangga. Terdapat banyak kes yang diadu oleh isteri di mana suami ingin berpoligami atau telah berpoligami tetapi tidak dapat berlaku adil dengan membahagikan nafkah zahir dengan sebaiknya.

Isteri yang dahulunya bertindak sebagai penggerak utama ekonomi rumah tangga terpaksa menanggung segala perbelanjaan keluarga kerana suami lebih mementingkan untuk menyahut atau menyempurnakan sunnah Nabi yang satu ini. Yang hairannya banyak lagi sunnah-sunnah Baginda yang agung yang wajar diikuti sebagai contoh dari aspek berakhlak, muamalah dan amalan-amalan lain yang tidak diikuti tetapi demi menegakkan kehendak dan keinginan yang satu ini kaum lelaki terutamanya yang jahil ilmu mempertahankan kehendaknya dengan konon mengikut sunnah.

Sebagai seorang isteri perlulah tahu di mana haknya dan ke mana tempat yang harus dituju jika berlaku hal yang seumpama ini. Islam tidak zalim dalam memberi hak tersebut. Islam juga tidak menyebelahi ke arah mana-mana gender sehingga menjadikan individu tersebut teraniaya.

Apa yang penting sekali adalah ilmu dan maklumat tentang sesuatu perkara itu patut dicari dan didapati melalui sumber-sumber yang sah. Apa yang berlaku pada hari ini adalah pihak isteri tidak mengetahui haknya sendiri dan tidak tahu di mana hendak mengadu. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila isteri ini pergi mengadu kepada orang-orang yang tidak bertauliah seperti rakan-rakan dan sanak saudara yang akhirnya bukan memberi nasihat dan pandangan bagi mengatasi masalah tersebut tetapi lebih kepada menghasut dan memberi batu api.

Akhirnya, perkara yang kecil menjadi besar, yang dapat diperbaiki tidak dapat dibaiki lagi. Luka kecil menjadi parah.

Rabu, 24 Februari 2010

Mukaddimah Pembukaan Blog

Blog ini direka khas buat semua kaunselor agar dapat membuat perkongsian bahan, pengluahan rasa dan juga perbincangan profesional dalam menjalankan tugasan kita sebagai 'helper'. Buku basic Personal Counselling oleh David Geldard (1998) dalam tajuknya yang akhir dalam buku tersebut 'Looking after yourself' memaparkan kepada kita tentang peri pentingnya kita menjaga diri sendiri di samping membantu orang lain. Beliau mengatakan kaunselor yang 'not feeling good' akan menjadi kurang efektif dalam intervensinya membantu insan lain.

Terdapat pelbagai simptom seperti Burn-out yang sering berlaku dalam kalangan kaunselor. Jadi laman ini dibina buat semua kaunselor supaya dapat berkongsi rasa dan meluahkan segala yang terpendam di laman ini. Hanya kita sebagai kaunselor sahaja dapat merasakan keperitan hidup bergelumang dengan permasalahan manusia.

Sekian. Wassalam.